Berita Minggu - 24 September 2000 (Ruangan Perspektif Perubatan)
Dr Norhisham Wahab - Pengasas Colour Vibration Therapy

KAEDAH RAWATAN PENYAKIT CARA CVT

Tubuh manusia adalah sebagai kesatuan, bukan kumpulan atau bahagian yang terpisah-pisah. Jika ada tenaga yang terganggu, tubuh akan mengambil langkah bersepadu untuk melindungi dan mengembalikan keseimbangan secara homeostasis.

Daya vital atau tenaga hayat tubuh sentiasa bersatu tetapi jika berlaku kejatuhan atau kenaikan secara mendadak dan berterusan, tenaga itu tetap tidak dapat bertahan dan berlaku pelbagai gejala penyakit.

Keupayaan tenaga dalam bentuk semangat menjadikan manusia mampu bertahan dan terus hidup manakala tahap pemikiran sering tergugat dan kita harus memujuknya dengan akal atau kekuatan mental yang waras.

Bagaimanapun, terapi getaran warna (Colour Vibration Therapy - CVT) percaya tenaga vital yang mempunyai keupayaan penyembuhan sendiri terletak pada tahap emosi atau iman.

Jika penyakit dapat mengimbangi empat tahap kesatuan emosi iaitu sabar, tenang, ikhlas dan syukur maka tahap ketahanan tubuh terhadap serangan kuman atau ketidakseimbangan hormon dapat diselaraskan dan itulah rasional rahsia penyembuhan.

Tindakbalas sebenar dipandang sebagai cara tubuh mengeluarkan atau menghambat sesuatu penyakit. Jika tahap emosi terus dipendam, penyakit akan terus menekan dan terjadi penderitaan kesakitan kepada tubuh.

Penyakit dan gejala spesifik

Sebagai contoh, masalah darah, ada pesakit yang menghadapi gejala kebas, sengal, sakit belikat, sakit pada tengkuk, sakit dalam kepala, terhoyong-hayang, mengantuk pada siang hari, sukar bernafas, berdebar-debar, gemuruh, sakit urat dan mudah terseliuh.

Pengalaman berbeza ini harus ditangani dengan bijaksana bagi menentukan getaran tenaga yang tepat dan sesuai. CVT menganggap proses penyembuhan memerlukan suatu tenaga yang paling lembut dan minimum.

Diagnosis

Semua gejala perlu disemak dan disusun untuk menjadi gambaran gejala keseluruhan. Gejala aneh atau luar biasa lebih memerlukan keseimbangan tahap kerohanian.

Contohnya, pesakit yang berasa sesuatu keganjilan di dalam perut atau di mana-mana bahagian seperti bergerak-gerak, mencengkam, panas mendidih, menghimpit dan lain-lain yang berlaku tidak tetap dan berulang-ulang maka getaran tenaga yang perlu diambil adalah lebih khusus atau spesifik. Atas alasan inilah satu bentuk tenaga yang unik akan memenuhi segala kehendak bagi semua perkara luarbiasa itu.

Getaran Umum - Bagi gejala yang lebih umum seperti sukar tidur, kurang selera makan, lesu, sesak nafas,demam, aturan haid tidak stabil dan sakit sendi, frekuensi tenaga boleh disesuaikan mengikut gejala yang diterima.

Tidak Sembuh - Jika proses penyembuhan masih tidak berjalan lancar manakala tenaga dalaman atau spiritual, emosi dan mental masih membelenggu ikatan tenaga yang tidak dapat diuraikan.

Kesan Getaran Tenaga Ke arah Penyembuhan - Jika ada perubahan , ini bermakna getaran sedang menjalankan fungsi dan penyakit boleh dikurangkan. Jika perubahan agak berat maka pengambilan getaran tenaga boleh ditukar kepata getaran tenaga tunggal khas yang lain.

CVT menilai perubahan sesuatu penyakit daripada satu perubahan ke satu perubahan lain yang berterusan. Penyakit asal akan terus hilang tanpa melalui cara mekanikal untuk membuang atau menukarnya. Ini bermakna perkembangan pesakit amat perlu diikuti sehingga kejayaan dapat dicapai.

Bagaimanapun, bagi konsep luaran getaran tenaga, semakin kuat gejala, bertambah kerap penggunaan diperlukan seperti mandi yang lebih lama.Penggunaan air batu dalam kaedah ini amat berkesan bagi meneutralkan gelombang yang sudah bocor dan terkeluar dari tubuh dalaman itu .

Penyembuhan

Pergerakan getaran tenaga pasti akan menggerakkan juga tenaga organ yang besar peranannya iaitu paru-paru. Aktiviti pernafasan ini amat penting. Seminit kita tidak bernafas, jantung akan berhenti fungsinya dan semua organ lain akan turut terhenti. Selepas itu tenaga akan bergerak ke arah bahagian organ yang kurang penting seperti kulit, tenggorok atau anak tekak yang terasa mendapat kesan akhir.

Kesan pertama jika paru-paru mendapat reaksi seperti batuk, ubat kimia boleh digunakan dengan berkesan tanpa kesan sampingan. Alasannya ialah kerana keracunan itu berada di luar sistem sel, ini tidak membahayakan sistem dalaman sel yang terbabit. Bagaimanapun jika pesakit hanya mendapat reaksi gangguan kulit seperti jerawat atau gatal-gatal, ini hanya dianggap sebagai gangguan akut yang kecil dan pesakit bernasib baik kerana penyakit yang dialami selama ini tidak berada ditahap serius.

Racun dapat dikeluarkan dari tubuh dalam bentuk kotoran seperti nanah, hingus, pedih mata, jerawat dan cirit-birit. Pergerakan itu berlaku dari tahap atasan ke tahap bawahan.Misalnya, gangguan kulit akan bergerak ke bawah dan akhirnya akan hilang.

Kemunculan akhir penyakit akan berada pada tahap atasan dan kehilangannya akan dirasai pada tahap bawah kerana penyakit bermula dari tahap bawah.

Dalam proses penyembuhan, sebarang penderitaan akan berulang untuk sementara waktu dan apabila berlaku proses itu kita menganjurkan supaya pesakit tidak berhenti atau mengulangi getaran tenaga bagi frekuensi yang dideritai sehingga semua penyakit dapat dihambat keluar dan tidak terpendam atau tersembunyi untuk menjadi kanser pada suatu masa nanti.

CVT mengambil langkah bijak dan rasional dengan penuh kesedaran bahawa cara perubatan moden perlu berjalan seiring sebagai pelengkap. CVT dengan konsep luaran dalam situasi darurat atau mencemaskan boleh digunakan sebagai pertolongan pertama. Konsep luaran yang mudah dapat menangani pesakit yang tidak sedar atau tidak mampu untuk menyerap getaran tenaga ke dalam tubuh melalui proses pemakanan.

Getaran tenaga akan menjadi keperluan pertama di dalam rumah untuk rawatan kemalangan atau kecelakaan. Penggunaan getaran tenaga tidak semestinya perlu mendapatkan diagnosis daripada pengamal profesional kerana ia mempunyai fungsi pelbagai guna yang selamat untuk sesiapa saja.

Kesedihan dan kekecewaan yang lama akan merangsang asid di dalam perut dan kita harus menghindari kekecewaan daripada menguasi diri. Jika tidak, ia akan mengundang penyakit lain ke dalam tubuh.

Alif Harmoni Sdn Bhd